20 June 2009

SELAMAT HARI BAPA..ayahku


abah..dadDy..papa..abi..ayah..
satu ayat yang berbeza tapi tersirat satu definisi yang sama..
semua dari kita bermula dari seorang lelaki bergelar ayah..
tanpanya, dunia takkan dapat kita fahami ertinya.

Seperti yang lain, aku juga mempunyai seorang ayah yang amat ku kasihi. Seorang ayah yang pernah hidup bersama dalam sebuah keluarga, riang bersama dan sedih bersama. Tapi keriangan itu hanyalah sementara sahaja kerana diragut satu dugaan yang begitu besar dalam hidupku. Dugaan yang tidak pernah kujangka atau ku impikan hilang dalam sekelip mata. Masih ku ingat ketika itu kami baru sahaja berpindah ke Kelantan, kampung halaman ibu dan ayahku. Di awal perpindahan kami, semuanya begitu indah. Dapat berjumpa datuk dan nenekku, sepupuku dan yang paling penting aku dapat berjumpa dengan kawan baru kerana aku telah bertukar di sekolah baru yang terletak bersebelahan rumahku. Ayahku pula telah mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai makan. Setelah beberapa bulan, satu kejadian yang tidak aku duga menimpaku. Semuanya tanpa dirancang. Ibu dan bapaku mengambil satu keputusan yang bakal merubah kehidupan kami sekeluarga dan pastinya perjalanan masa depanku.

.....PERPISAHAN.....

Satu ayat yang benar-benar menguji ketabahanku dan terlalu sukar untuk diungkapkan. Di awal perpisahan mereka aku sering tertanya-tanya kenapa semua ini harus terjadi?? Kamus hatiku mencari suratan segalanya namun sukar untuk diungkapkan. Ku terus mencari makna kehidupan yang harus ku tempuhi ini..kenapa kami..kenapa bukan orang lain. Tapi kini baru ku fahami segalanya. Inilah ujian, ujian kehidupan yang Allah berikan kepada kami, ujian yang menguji tahap keimanan, ketabahan dan kesabaran kami dalam bermusafir di buminya. Kini kami semua sudah terlalu mengerti akan kehidupan ini.

Aku masih ingat sewaktu kami masih bersama di rumah lama kami di Selangor. Walaupun rumah kami tidaklah sebesar mana tapi kami dapat hidup dengan harmoni. Aku masih ingat ayahku sering membelikan kami sekeluarga ABC selepas kepulangannya dari tempat kerja. Ketika aku masih kecil, ayahku sering membawaku berjalan-jalan dan gambar kenangan itu masih ku tatap hingga ke hari ini. Seperti baru semalam aku bersamanya. Kadang-kala bila ku terlihat wajah M.Nasir yang mirip muka ayahku, aku tersenyum keseorangan kerana mereka mempunyai misai yang sama..tapi aku hanya mampu mengukir senyuman, menahan hiba di hati. Andai dapat ku undur waktu ingin sekali aku kembali ke masa lalu mengubah segalanya. Namun, itu semua hanyalah sebuah khayalan yang sudah pasti tidak dapat menjadi sebuah kenyataan.

Melihat sebuah keluarga yang yang begitu bahagia, hatiku tersentuh lagi. Alangkah indahya jika dapat bersama seorang lelaki yang digelar ayah. Ku hanya mampu melihat kerenah mereka sambil membayangkan ayahku berada di sisiku. Hatiku menangis hiba, fikiranku meniti jambatan kemesraan kami sewaktu dulu. Sungguh aku impikan keriangan yang telah hilang itu. Sepanjang kami pernah bersama, ayah tak pernah memukulku. Buktinya ialah ketika aku menyebabkan jam kesayangannya hilang tapi ayah hanya memarahiku walaupun dia menggertak akan memukulku sekiranya aku tidak ketemu jam yang aku hilangkan.

Tapi itu semua hanyalah sejarah nota kehidupan kami sekeluarga. Walaupun tidak tinggal bersama, kami masih berjumpa sekali-sekali. Riak mukanya begitu tenang tapi ku tahu jauh di sudut hatinya ingin sekali dia kembali bersama keluarga yang pernah disayanginya. Kembali bersama....ayat yang terlalu sukar untuk dijadikan kenyataan. Akhir kata, di saat nadi ayahku masih berdenyut ingin aku mengambil kesempatan ini untuk ku sampaikan ucapan SELAMAT HARI BAPA buat ayahku. Semoga hari-hari mendatang dalam hidupnya penuh kegembiraan bersama keluarga barunya dan semoga Allah merahmatimu selalu. Kepada mereka yang masih "bersama" seorang ayah, hargailah segalanya sebelum terlambat..

Sekian...

Dengan ingatan tulus ikhlas buat ayahku, WAN ZAINUDIN BIN WAN HASSAN...
daripada, anakmu..WAN MOHD AZIZUL BIN WAN ZAINUDIN

..KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA..

..KASIH BAPA SEPANJANG MASA..

1 Comment:

  1. jacaranda said...
    ayah ttp ayah no matter wut

    chilll frensss

Post a Comment