01 April 2009

mission compLete!!

PANTAI SRI TUJOH RESORT - Kekurangan oksigen dan pam air yang tidak berfungsi adalah punca yang menyebabkan dua ekor ikan koi peliharaan resort ini telah mati semalam. Kejadian yang berlaku pada petang kelmarin walaubagaimanapun tidak dihebohkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di atas sebab-sebab keselamatan pekerja.

Menurut saksi yang melihat kejadian menyayat hati itu dan hanya mahu dikenali sebagai Azizul, sebelum menghembuskan nafas yang terakhir ikan-ikan tersebut dilihat timbul di permukaan air sambil tercungap-cungap menghirup oksigen. Beliau yang menyangkakan perkara sebegitu mungkin satu fenomena biasa buat tak tahu jelah sehingga seorang pekerja di situ memberitahu bahawa dua ekor ikan di dalam kolam telah mati. Menurut pekerja itu lagi, dia telah cuba untuk menyelamatkan ikan-ikan tersebut tetapi Tuhan lebih menyayanginya dan terpaksa menerimanya dengan hati yang terbuka. Berdasarkan pengamatan saksi, kematian ikan-ikan itu juga turut disebabkan oleh kualiti air yang sedikit tidak bersih selain makanan yang terlebih bagi.

Kejadian yang sama juga turut berulang pada hari ini dimana seekor ikan tersebut telah mati dan turut dilihat oleh saksi yang sama yang bertugas pada pagi ini. Atas dasar kemanusiaan dan untuk mengelakkan lebih banyak nyawa yang terkorban, beliau terus mencapai sauk yang berada di tepi kolam dan terus memindahkan ikan-ikan tersebut ke kolam yang satu lagi. Atas keprihatinan itulah ikan-ikan itu dapat diselamatkan seterusnya mengelakkan kerugian yang lebih besar dari berlaku. "Mujur saya sempat tengok, kalau tak dah lama ikan tu mati" menurutnya.

Kini ikan-ikan itu masih ditempatkan di kolam yang sama tetapi dalam keadaan air yang lebih bersih dan pam air yang berfungsi dengan sempurna. Walaubagaimanapun, menurut beliau lagi kejadian sebegini mungkin boleh berulang sekiranya semua pihak tidak berganding bahu memelihara alam sekitar.

Berita disunting oleh :
Wan Mohd Azizul Bin Wan Zainudin,
wartawan berita ape-ape aje..

0 Comments:

Post a Comment